Selasa, 9 November 2010

Teori Penamaan

Menurut F.R. Palmer (1989:20), tatabahasa tradisional selalunya mendefinisikan nama sebagai ‘nama orang atau benda’, sebagai yang berbeza daripada kata sifat, kata kerja, sendi nama dan lain-lain. Penamaan itu pada biasanya diberi mengikut ciri-ciri yang terdapat pada benda (kata nama) yang dirujuk untuk memahami. Ia biasanya merujuk kepada perbezaan di antara denotasi dan rujukan. Denotasi digunakan untuk menunjukkan golongan orang, benda dan lain-lain yang biasanya diwakili oleh ungkapan. Manakala rujukan pula menunjukkan orang atau benda sebenar yang dirujuk dalam sesuatu konteks tertentu. Dari itu penamaan seseorang dan sesuatu benda itu diberikan berdasarkan ciri-ciri yang terdapat untuk melambangkan penamaannya, namun terdapat faktor-faktor yang dapat menghasilkan sesuatu nama itu, sama ada dari faktor peniruan bunyi, penyebutan sifat khas, tempat asal, keserupaan dan sebagainya.

Trailer Movie Percy Jackson & The Olympians: The Lightning Thief.

Sinopsis Percy Jackson & The Olympians : The Lightning Thief

Di atas bangunan Empire State, Poseidon telah berjumpa dengan Zeus. Zeus telah memberitahu bahawa panah petirnya telah hilang dan menuduh anak Poseidon iaitu Percy Jackson sebagai pencurinya. Poseidon telah menjelaskan bahawa bukan anaknya yang mencuri panah petir Zeus itu. Zeus tidak mempercayainya dan telah memberikan tempoh kepada Poseidon selama empat belas hari untuk mengembalikan panah petirnya. Jika panah petirnya itu tidak dikembalikan dalam tempoh tesebut, maka peperangan di antara tiga dewa tertinggi iaitu Zeus, Poseidon, dan Hades akan berlaku. Semasa Pameran Seni Greek dan Roman, Percy telah diserang oleh Fury (Ms. Dodds) yang menginginkan panah petir Zeus. Percy telah diselamatkan oleh Mr . Bruner yang merupakan guru bahasa Latin kepada Percy. Selepas Mr Bruner mengusir Fury, dia telah memberikan pedang yang berbentuk pen kepada Percy dan telah mengarahkan Grover supaya membawa Percy dan ibunya ke khemah 'half-blood'. Dalam perjalanan mereka ke khemah 'half-blood', barulah ibu Percy menceritakan kepada Percy bahawa dia berketurunan separuh manusia dan separuh dewa. Dalam perjalanan itu, mereka telah diserang oleh seekor raksasa. Apakah yang akan berlaku kepada Percy dan ibunya???

Watak Percy Jackson



PERCY JACKSON

Watak ini dipegang oleh Logan Lerman. Percy Jackson ini merupakan watak utama di dalam cerita “Percy Jackson and the Olympians: The Lightning Thief”. Dia merupakan seorang manusia yang digelarkan “Demigod” iaitu seseorang yang berdarah kacukan separuh manusia dan separuh tuhan. Sebelum mengetahui dia adalah seorang “Demigod”, dia menjalani kehidupannya sebagai seorang remaja biasa dan merupakan seorang penuntut sekolah tinggi dalam mitologi Greek. Dalam cerita ini, Percy Jackson ini merupakan anak kepada Poseidon iaitu dewa laut. Dia mewarisi kebolehan ayahnya iaitu menguasai air dan menjadikan keistimewaan tersebut sebagai kekuatannya untuk mengalahkan musuhnya. Selain dapat menguasai air, Percy Jackson juga mempunyai kebolehan untuk membaca huruf-huruf Greek. Namun pada permulaannya dia menganggapnya sebagai satu penyakit kerana pada masa itu dia belum mengetahui asal-usul ayahnya. Selain mewarisi kuasa ayahnya, Percy Jackson juga mempunyai wajah kacak seperti ayahnya.

Setelah identitinya sebagai anak kepada Poseidon terdedah dia mula diburu oleh musuh yang menyangka dia merupakan pencuri pancaran petir kepunyaan Zeus. Kehidupannya mula terdedah kepada bahaya dan untuk menyelamatkannya, dia telah dimasukkan ke dalam kem khas bagi orang-orang yang berdarah kacukan manusia dan tuhan. Disana dia menyertai askar biru dan berkenalan dengan Luke dan Annabeth. Oleh kerana kuasanya sangat kuat, dia merupakan satu ancaman kepada Zeus dan juga Hades yang merupakan adik-beradik kepada ayahnya.


ANALISIS PENAMAAN WATAK PERCY JACKSON

Dari segi penamaan watak, nama Percy Jackson ini berkemungkinan berasal daripada cerita rakyat Greek yang berunsur mitos. Ini kerana cerita ini adalah lebih berunsurkan imiginasi semata-mata. Pada awalnya watak utama dalam cerita rakyat ialah Perseus yang kemudiannya dimodenkan menjadi Percy Jackson kerana dalam cerita 'Percy Jackson and the Olympians: The Lightning Thief' watak utama hidup di dalam abad ke 21. Namun apa yang membezakan di antara kedua-dua cerita ini ialah dalam cerita rakyat, Perseus merupakan anak kepada Zeus dan dalam cerita 'Percy Jackson and the Olympians: The Lightning Thief' Percy merupakan anak kepada Poseidon yang merupakan adik kepada Zeus. Sementara persamaan kedua-dua cerita ini ialah mereka menampakkan keajaiban iaitu adanya kasut bersayap dan watak utama mempunyai kebolehan yang luar biasa yang tidak boleh dilakukan oleh mana-mana manusia biasa.

Watak Annabeth Chase


ANNABETH CHASE

Makna disebalik nama Annabeth Chase ialah kebahagiaan dan kegembiraan. Annabeth Chase ialah seorang ‘demigod’ iaitu separuh manusia dan separuh dewa. Dia merupakan anak kepada dewi Athena iaitu dewi kebijaksanaan. Dia juga mempunyai sifat kebijaksanaan seperti ibunya di samping bijak dalam strategi, keadilan dan ketrampilan dalam mitos Yunani. Bahkan dia juga memiliki kepakaran dalam seni pertahanan diri.

Dalam kisah “Percy Jackson and The Olympians: The Lightning Thief”, Annabeth adalah seorang perempuan yang sangat cantik. Dia memiliki rambut perang dan mata berwarna biru. Dia memiliki akal dan pemikiran yang luar biasa. Dalam cerita itu, dia tinggal bersama-sama dengan anak dewa yang lain di dalam khemah ‘Half-Blood’. Dia mempunyai keistimewaan seperti juga anak-anak separa dewa yang lain iaitu cenderung membaca kata-kata dalam huruf Yunani kuno yang modelnya terbalik-balik sehingga membuatkan mereka mudah untuk membaca tulisan normal. Selain itu, dia memiliki keunikan khusus iaitu mewarisi keistimewaan yang dimiliki oleh dewi Athena yang mana merupakan ibu kepada Annabeth.

Semasa di dalam khemah ‘Half-Blood’, dia berkawan rapat dengan Percy Jackson (anak dewa laut iaitu Poseidon) dan Grover Underwood (makhluk manusia berkaki kambing yang dipanggil Sentora). Dia ikut mengembara bersama-sama dengan Percy Jackson dan Grover Underwood untuk menyelamatkan ibu Percy Jackson (Sally Jackson) dan juga ingin membuktikan kepada Zeus bahawa Percy Jackson tidak mencuri panah petir tersebut.

ANALISIS PENAMAAN WATAK ANNABETH CHASE

Berdasarkan kepada watak yang dibawa oleh Annabeth Chase ini dapatlah dianalisis bahawa watak ini telah memberikan kekuatan kepada watak utama iaitu Percy Jackson seperti menolong Percy Jackson dan Grover Underwood apabila kedua-dua rakannya di dalam kesusahan. Ini adalah kerana Annabeth Chase memiliki kekuatan seni pertahanan diri dari segi bermain pedang dan memanah. Tambahan lagi watak ini merupakan anak kepada dewi Athena iaitu dewi kebijaksanaan. Oleh itu apabila watak ini keluar mengembara bersama dengan rakan-rakannya, mereka akan selalu berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran untuk membuktikan bahawa Percy Jackson bukan pencuri yang dimaksudkan. Ini mungkin ada kaitan dengan penamaan watak Annabeth Chase yang bermaksud kebahagiaan dan kegembiraan. Ini menunjukkan bahawa walaupun watak ini banyak mengalami masalah pada awalnya, namun apabila sampai ke penghujung cerita watak ini akan selalu berjaya mengharunginya. Akhirnya cerita ini membawa ‘happy ending’ bertepatan dengan maksud disebalik nama Annabeth Chase iaitu kebahagiaan dan kegembiraan.

Namun begitu makna disebalik penamaan Annabeth tidak semestinya merujuk kepada kebahagiaan dan kegembiraan. Ini kerana perwatakan dan sifatnya dalam cerita Percy Jackson and the Lightning Thief adalah seorang yang bijaksana, mahir dalam strategi dan pakar dalam seni pertahanan diri. Annabeth telah mewarisi sifat-sifat tersebut daripada ibunya, Dewi Athena. Oleh itu penamaan tidak semestinya berdasarkan sifat, bunyi dan sebagainya. Berkemungkinan penamaan Annabeth diberikan kerana mengikut kesesuaian zaman moden. Apalagi nama Annabeth merupakan nama bagi zaman moden. Cerita Percy Jackson and the Lightning Thief merupakan cerita pada abad ke-21 yang ada berunsurkan zaman Greek. Dengan itu, tidak hairan sekiranya nama-nama watak ada yang berunsurkan nama dari Greek dan ada juga nama yang digunakan pada masa kini. Selain itu berkemungkinan penamaan Annabeth diberikan hanya untuk sebagai rujukan. Rujukan ditujukan kepada seseorang watak supaya dikenali oleh orang lain. Penamaan Annabeth juga mungkin diberikan berdasarkan nama daripada ibunya, Dewi Athena kerana penamaan Annabeth mempunyai ciri dan bentuk yang hampir-hampir sama dengan nama Athena.

Watak Grover@Satyr


GROVER@SATYR

Grover dikenali sebagai Satyr. Grover merupakan separuh kambing dan separuh manusia. Separuh daripada bahagian anggota badannya iaitu di bahagian atas berbentuk manusia manakala separuh anggota badan di bahagian bawah iaitu kakinya berbentuk kambing. Grover telah menyamar sebagai seorang manusia lelaki yang menggunakan tongkat. Tujuannya menggunakan tongkat bagi menyembunyikan kakinya yang berbentuk kaki kambing. Selain itu Grover telah menyamar sebagai manusia biasa kerana tugasnya sebagai pelindung.

Grover merupakan pelindung kepada Percy dan juga ibu Percy, Sally Jackson. Dia juga merupakan pelindung yang masih berada di peringkat bawahan (junior protectors) dan belum mempunyai tanduk. Grover ialah kawan baik Percy Jackson. Dia juga telah berjaya membunuh Hydra. Grover mempunyai perwatakan yang lawak dan seorang kaki perempuan. Perwatakannya sebagai kaki perempuan menyebabkan dia dipanggil sebagai nymphs oleh perempuan.

Grover telah membawa Percy Jackson ke sebuah tempat dikenali sebagai 'Camp Half Blood' untuk melindungi Percy darpada musuhnya. Dia telah mengikut Percy dalam pengembaraan untuk menyelamatkan ibu Percy yang telah dikurung di Underworld. Dalam pengembaraan tersebut juga, Grover bersama-sama Percy dan Annabeth telah mencari 3 mutiara yang berada di New Jersey, Nashville dan Las Vegas supaya dapat keluar dari Underworld setelah menyelamatkan ibu Percy.

Grover sanggup tinggal di Underworld supaya Percy, Annabeth dan Sally dapat keluar dari Underworld untuk menuju ke Olympus. Setelah Zeus datang untuk mengambil Grover dari Underworld, Grover telah diangkat menjadi ‘senior protector’ yang berada diperingkat kelas pertama (first class) dan juga sudah mempunyai tanduk.

ANALISIS PENAMAAN WATAK GROVER@SATYR

Watak Grover ini dipegang oleh Brandon T. Jackson. Grover juga telah dikenali sebagai Satyr. Satyr berasal dari nama Ancient Greek. Menurut kamus Kleins Comprehensive Etymological Dictionary of the English Language (1971:657), Satyr ialah 'a woodland deity, a part man and part goat'.Dengan kata lain, Satyr ialah seorang yang merupakan separuh kambing dan separuh manusia.

Dalam kisah Percy Jackson and The Lightning Thief, Brandon T. Jackson telah diberikan dua nama iaitu Grover dan Satyr. Penggunaan dua nama telah diberikan kerana nama Grover digunakan sesuai dengan kehidupan moden iaitu Grover telah menyamar sebagai seorang manusia pada abad ke-21. Manakala nama bagi watak Satyr diberikan disebabkan Grover merupakan seorang yang separuh kambing dan separuh manusia. Oleh itu penamaan bagi watak Satyr diberikan berdasarkan sifat atau ciri-ciri luaran (physical) yang merupakan separuh manusia dan separuh kambing.

Watak Luke


LUKE

Menurut Kamus Encyclopedic Edition (1977), Luke (look): A masculine personal name [<L, light] nama Luke ini digunakan dalam penceritaan berdasarkan cerita mitos Greek pada zaman dahulu yang terdapat di dalam rajah nama-nama dewa dalam buku ‘Bible’ yang mana buku tersebut terinspirasi oleh dewa berdasarkan pegangan agama Kristian.

Dalam filem tersebut, perwatakan Luke ini bersifat antagonis. Luke juga digelar sebagai ‘Lightning thief’. Ia merupakan anak lelaki kepada dewa Hermes yang dipercayai salah seorang daripada dua belas dewa Olympian. Oleh kerana Luke ini merupakan keturunan dewa bersama dengan manusia biasa maka ia berketurunan separa dewa dan separa manusia. Ia tinggal di kem yang telah dikhaskan bagi mengumpul orang-orang yang mempunyai darah dewa dan manusia. Di kem itu, ia sebagai pemimpin kem askar yang berwarna biru. Luke juga yang telah mencuri petir kepunyaan Zeus. Ia menganggap semua dewa mementingkan diri sendiri dan mahu semua dewa berperang sesama sendiri. Justeru itu, ia mempergunakan Percy Jackson dalam memulakan peperangan. Ia menyimpan senjata petir di belakang perisai yang diberikannya kepada Percy agar Percy dianggap sebagai pencuri petir. Keistimewaan watak ini juga ditambah lagi dengan adanya kuasa pada kasut yang digunakannya untuk terbang serta bertarung dengan watak utama Percy.

ANALISIS PENAMAAN WATAK LUKE

Jake Abel memegang watak Luke dan juga boleh dikenali sebagai ‘lightning thief’. Oleh yang demikian, penamaan watak dan perwatakan ini berdasarkan dari sifat Luke sebagai seorang pencuri alat yang merupakan kepunyaan Zeus iaitu senjata panah petir. Justeru itu, Luke adalah orang yang terkenal dengan sifat pencuri kerana ia telah mewarisi sifat tersebut daripada ayahnya. Tujuan Luke mencuri panah petir kerana ingin menjadi raja Olympus. Maka, penamaan ‘Lightning thief’ diberikan kerana perwatakan atau sifatnya sebagai seorang pencuri.