Selasa, 9 November 2010

Watak Poseidon



POSEIDON

Dalam cerita ini Poseidon memegang watak protagonis. Dia merupakan dewa laut dan gempa bumi, iaitu bapa kepada Percy dan adik kepada Zeus. Poseidon berkuasa ke atas laut. Wataknya muncul di awal dan di akhir cerita. Dia meninggalkan anaknya Percy sewaktu berumur 7 bulan lagi. Poseidon hanya memegang watak dan perwatakan di alam ghaib yang sering membisikkan suaranya kepada anaknya ketika dia ditimpa masalah.

ANALISIS PENAMAAN WATAK POSEIDON

Rick Riordan adalah penulis siri cerita ini. Dia merupakan aliran sastra mitologi. Cerita ini merupakan metologi Yunani kuno, sebagai analoginya dalam cara kontemporari. Dia memberikan watak yang sama kepada cerita ini berdasarkan mitos yunani, tapi juga mencampuradukkan watak dunia yang keluar dari mitos iaitu dengan menyelitkan watak-watak semasa.

Jadi cerita ini merupakan adunan dongeng dan mitos Yunani yang disulam dengan cerita moden iaitu kemunculan watak-watak mitos lama seperti dewa-dewi, binatang dan raksasa yang merupakan metologi Yunani dan dengan watak-watak dunia nyata.

Pemberian nama watak berdasarkan Poseidon adalah berdasarkan:

1. Penyebutan sifat khas

Jika dilihat dari segi watak dan perwatakan yang ada pada Poseidon ini jelas menunjukkan bahawa penamaan yang diberikan kepada watak tersebut adalah berdasarkan kepada sifat khas yang ada padanya. Di mana Poseidon ini merupakan dewa laut dan gempa bumi yang mempunyai kuasa ke atas laut. Jadi penamaan Poseidon adalah berdasarkan kepada sifat khas yang ada padanya.

Memandangkan cerita ini merupakan mitos masyarakat Yunani kuno, jadi pemberian nama Poseidon ini adalah berkait dengan kepercayaan atau persepsi sesebuah masyarakat tersebut. Ini dapat dilihat melalui pendapat Aristotle dalam Jaludin Chuchu (2010) yang menyatakan bahawa pemberian nama itu bersifat konvensional antara sesama kelompok masyarakat. Dengan itu hal ini jelas apabila pemberian watak Poseidon ini nyatanya adalah berdasarkan kepada fahaman mitos masyarakat Yunani. Mereka memberikan nama Poseidon itu kepada dewa laut dan gempa bumi menurut kepercayaan masyarakat mereka.

F.R Palmer (1989) pula menyatakan penamaan kata-kata itu adalah ‘nama’ atau ‘label’ bagi benda-benda. Dia turut menyatakan, bagi membincangkan masalah penamaan ini, satu perbezaan perlu dibuat iaitu antara DENOTASI dan RUJUKAN.

F.R Palmer memberikan penerangan lanjut mengenai denotasi dan rujukan, katanya:

Denotasi digunakan untuk menunjukkan golongan orang, benda dan lain-lain, yang biasanya diwakili oleh ungkapan. Rujukan pula menunjukkan orang atau benda sebenar yang dirujuki dalam konteks tertentu. Timbul masalah dalam kita mengekalkan teori penamaan itu, dengan menggunakannya semata-mata untuk perkataan nama sahaja? Jadi jelaslah ini merupakan satu masalah. Misalnya kata nama dengan makhluk yang tidak wujud di dunia nyata (benda-benda khayalan mitos seperti Poseidon), jadi perkataan-perkataan ini tidak mendenotasi benda-benda yang ada di dunia ini. Salah satu jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan membezakan dua jenis dunia, iaitu dunia sebenar dan dunia cerita-cerita mitos. Jadi apabila berbuat demikian, adalah dengan serupa mengakui bahawa perkataan bukanlah semata-mata nama untuk benda-benda, bahkan ia melibatkan beberapa keterangan yang agak canggih untuk membolehkan kita dengan menggunakan jenis analogi tertentu (perbandingan) berkisar daripada memberi nama kepada benda yang wujud di dunia ini, kepada memberi nama kepada benda yang tidak wujud. Justeru ini membuktikan bahawa kata tidaklah terhad kepada nama-nama benda-benda dalam pengalaman kita semata-mata. (p.20)

Asmah Hj Omar (1986) pula mengatakan bahawa bahasa itu mencerminkan kebudayaan penuturnya, yakni cara hidupnya dan jua persekitaran fizikal dan sosial mereka. Dengan demikian bahasa orang yang hidup di zaman kuno Yunani itu adalah kaya dalam perbendaharaan kata dalam bidang mitos yang seringkali penamaan sesuatu itu adalah dikaitkan dengan kuasa-kuasa yang ada pada dewa-dewi yang mereka percayai.

2. ‘kuasa’ yang ada pada watak

Bagi masyarakat Yunani kuno, Poseidon adalah salah satu dari tiga dewa tertinggi dalam cerita Yunani kuno iaitu dewa laut yang mana watak Poseidon ini mempunyai kuasa ke atas laut. Jadi penamaan watak Poseidon ini juga ada kaitan dengan kuasa yang ada padanya.

3. Analogi mitos

Kalau dikaji dari sudut cerita ini sendiri, penamaan watak adalah juga merupakan analogi (dikiasakan) kepada cerita Yunani kuno. Ini kerana adanya pencampuran watak mitos Yunani kuno dengan watak-watak kontemporari. Watak mitos itu seperti kemunculan watak-watak dewa-dewi, binatang dan raksasa. Sementara watak semasa pula seperti watak-watak sampingan yang lain yang wujud di dunia nyata ini.

Watak Zeus


ZEUS

Zeus merupakan watak protagonis yang dilakonkan oleh Sean Bean dalam cerita Percy Jackson and the Olympians. Dalam cerita itu, Zeus adalah raja Olympus dan ketua di antara tiga dewa tertinggi. Tiga dewa tertinggi itu terdiri daripada dia dan adik-beradiknya iaitu Poseidon dan Hades. Ketiga-tiga mereka ini mempunyai kuasa yang tersendiri dan masing-masing sangat hebat. Zeus menguasai cuaca seperti petir, hujan, angin dan sebagainya. Oleh itu dia dikenali sebagai dewa iklim kerana kuasa yang dimilikinya lebih kepada iklim. Melalui cerita ini, Zeus tidak mempunyai anak dan senjata petirnya telah dicuri sehingga dia ingin mengadakan peperangan dengan adik-beradiknya. Zeus menyangka orang yang mencuri senjata petir itu ialah anak Poseidon iaitu Percy Jackson kerana ingin mengambil kedudukannya. Walau bagaimanapun orang sebenar yang mencuri senjatanya itu ialah anak dewa Hermes. Dalam cerita ini menunjukkan bahawa Zeus merupakan seorang yang tegas. Ini dapat dilihat apabila Zeus telah membuat undang-undang kepada para dewa dewi iaitu bagi mereka yang mempunyai anak dengan manusia, mereka tidak boleh berjumpa dengan anak mereka kerana Zeus telah melihat sikap adiknya iaitu Poseidon telah meninggalkan tanggungjawabnya sebagai dewa dan asyik ke dunia bersama isteri dan anaknya. Selain itu juga, Zeus seorang yang tetap dengan pendiriannya iaitu dia tetap ingin mengadakan peperangan dengan adik-beradiknya sekiranya senjata petirnya itu tidak juga dikembalikan. Peperangan akan dijalankan walaupun mengetahui akibat daripada peperangan tersebut akan menyebabkan banyak kematian.


ANALISIS PENAMAAN WATAK ZEUS

Penamaan watak Zeus ini adalah berdasarkan kisah mitos Greek (Yunani). Mitos Greek yang mengisahkan tentang 12 dewa dewi Olimpian yang tinggal di gunung Olympus. Menurut Ron Leadbetter dalam Encyclopedia Mythica, Zeus merupakan ketua tertinggi di antara para dewa dewi dan anak bungsu kepada Kronos dan Rhea. Dia juga menguasai petir, hujan, dan guruh. Besar kemungkinan, orang yang mereka cerita mitos Greek ini menamakan Zeus kerana kuasa yang ada padanya iaitu petir. Pada kebiasaannya penamaan watak-watak dalam cerita mitos itu diambil daripada alam semulajadi dan penyebaran cerita mitos itu secara lisan. Setelah mengalami proses secara lisan mungkin penamaan bagi suatu watak itu mungkin akan berubah mengikut penutur yang bercerita. Menurut Indah anggita, nama Zeus dalam mitos Greek itu mungkin diambil dari nama sebuah planet iaitu planet Jupiter. Planet Jupiter merupakan planet yang terbesar di antara planet-planet yang lain. Jadi Zeus disamakan dengan planet Jupiter iaitu bentuknya yang besar bersamaan dengan jawatan Zeus yang tinggi. Selain itu juga ada nama dewa yang lain yang hampir sama dengan nama planet seperti planet Uranus dan Pluto sama dengan nama dewa Uranos dan Pluton dalam mitos Yunani (Greek). Jadi penamaan Zeus itu dikatakan daripada alam semulajadi iaitu melalui planet Jupiter tetapi namanya agak sedikit berbeza mungkin disebabkan penutur yang bercerita dari satu tempat ke satu tempat mungkin telah mengubah sedikit sebanyak mengenai nama dan cerita dewa Zeus itu. Jadi penamaan watak Zeus itu adalah berdasarkan sifat dan kuasa yang ada pada dirinya yang diambil daripada alam semulajadi
.

Watak Hades


HADES

Dalam mitos Greek, Hades merupakan saudara kepada Zeus dan Poseidon. Hades adalah penguasa dunia di alam neraka iaitu tempat bagi sekalian manusia di tempatkan setelah mati.

Dari nama watak Hades itu sudah melambangkan gambaran yang mana menurut Greek, ‘Hades’ itu merupakan dewa neraka. Hades ini memainkan peranan sebagai watak antagonis (watak jahat). Dalam cerita tersebut, Hades telah muncul secara tiba-tiba di saat watak utama iaitu Percy Jackson sedang meraikan kedatangannya ke tempat perkumpulan latihan dan kejayaannya dalam mengalahkan Annabeth secara berkumpulan. Di saat kemunculan Hades, watak Hades ini digambarkan dengan badannya yang seperti raksasa atau naga yang mana gambaran ini dibuat berdasarkan imaginasi pengarang itu sendiri yang mana badannya diselaputi dengan api yang sentiasa membara melindungi badan Hades tersebut. Maka dari itu, kekuatan atau kekuasaan Hades ialah mengeluarkan api dari mulutnya ketika untuk menunjukkan kekuasaanya di samping untuk memberi amaran pada watak utama jika dilihat pada jalan cerita ini. Di samping itu juga, Hades ini adalah seorang dewa yang suka menyeksa isterinya yang juga merupakan dewi. Namun perkahwinan mereka ini diterima secara paksa oleh isterinya yang bernama Persephones kerana perkahwinan mereka ini merupakan rancangan atau keinginan kedua ibubapa mereka. Selain itu, Hades juga dapat merubah dirinya sebagai manusia dan hanya berubah menjadi raksasa kembali apabila dia ingin bertarung dengan musuhnya.

ANALISIS PENAMAAN WATAK HADES

Maka, melalui perwatakan serta penamaan yang diberikan kepada watak Hades dalam cerita tersebut telah melambangkan perwatakan itu sendiri kerana berdasarkan cerita-cerita mitos Greek. Nama Hades menurut mitos itu merupakan dewa api yang mengawal kehidupan di neraka. Neraka merupakan tempat yang berhawa panas maka Hades itu digambarkan dengan badannya yang dipenuhi dengan bara-bara api. Malah kuasanya juga ialah api yang mana turut digunakannya ketika berlawan dengan musuh. Dari itu, dapatlah disimpulkan bahawa pemberian nama ini bersifat arbitrer dan terjadinya penamaan terhadap kata yang ada dalam leksikon bahasa Melayu adalah berdasarkan penyebutan sifat khas dan juga tempat asal dari mana nama tersebut digunakan dalam watak.

Watak Mr. Bruner@Chiron



MR. BRUNER@CHIRON

Dalam movie 'Percy Jackson and The Olympians: The Lightning Thief', Mr. Brunner memegang watak protagonis sebagai guru bahasa Latin kepada watak utama, Percy Jackson. Dia menggunakan kerusi roda. Pada suatu ketika, dia telah menyelamatkan Percy daripada serangan makhluk Yunani berbentuk monster kelawar. Kemudian dia menceritakan kepada Percy sebab dia diserang, iaitu kerana Percy dianggap telah mencuri senjata petir (lightning bolt) yang merupakan senjata kepunyaan dewa Zeus. Setelah itu, dia telah memberikan sebatang pen ajaib kepada Percy. Apabila pen tersebut ditekan, maka ianya akan bertukar menjadi pedang.

Nama sebenar Mr. Brunner ialah Chiron. Dia cuma menyamar sebagai Mr. Brunner untuk melindungi Percy Jackson daripada serangan musuh. Menurut mitos Greek, Chiron adalah separa manusia dan separa kuda. Dalam movie tersebut, dia berperanan sebagai ketua dan melatih para 'demigod' di khemah 'Half-Blood' iaitu bagaimana cara-cara untuk mempertahankan diri apabila diserang musuh.

ANALISIS PENAMAAN WATAK MR.BRUNNER@CHIRON

Jika dianalisis watak Chiron, nama Chiron adalah berdasarkan kepada sifat dan penampilan dirinya iaitu makna Chiron itu sendiri. Dalam mitos Greek, Chiron membawa maksud sentora, iaitu separa manusia dan separa kuda. Dengan penamaan Chiron itu, maka jelas menunjukkan sifat sebenar dan juga daripada ciri khas yang terdapat dalam watak Chiron. Manakala, nama samaran Chiron iaitu Mr. Brunner disesuaikan mengikut kehidupan moden.

Watak Medusa



MEDUSA

Menurut mitos Greek, Medusa adalah anak perempuan kepada Phorkys dan Keto. Adik beradiknya yang lain ialah Sthenno dan Euryale. Dia adalah perempuan yang cantik dan tinggal jauh di kawasan utara di mana tidak ada cahaya matahari. Oleh kerana keinginannya untuk menyaksikan matahari maka dia meminta izin daripada Athena untuk pergi ke Selatan. Namun Athena tidak mengizinkannya pergi. Perkara ini menimbulkan kemarahan kepada Medusa dan menuduh Athena cemburu ke atas kecantikannya. Tuduhan Medusa mengakibatkan Athena menyumpah rambut Medusa bertukar menjadi ular dan sesiapa yang melihat matanya akan menjadi batu. Namun dalam versi yang lain pula, Medusa telah disumpah oleh Dewi Athena kerana cemburukan perhubungan medusa dengan Dewa Poseidon. Sumpahan itu juga akan mengakibatkan sesiapa sahaja yang memandang wajah Medusa akan bertukar menjadi batu.

Dalam filem Lightning Of Thief, dikatakan Athena menukarkan Medusa menjadi raksasa kerana Medusa telah mencemari tempat suci Athena iaitu di kuil Athens dengan melakukan perbuatan sumbang bersama Poseidon. Sebelum kutukan Athena terhadapnya, Medusa menjadi rebutan para dewa namun akibat daripada kutukan, Medusa tidak lagi memiliki kejelitaannya. Ini mengakibatkan dendam Medusa terhadap Athena. Dalam satu sudutan filem ini, Percy ditemani oleh Annabeth mencari mutiara yang akan membolehkan mereka untuk keluar dari alam barzakh. Mutiara itu ada di tangan Medusa, musuh ibu Annabeth. Dengan hanya sekilas pandang sahaja, Medusa mengetahui Annabeth adalah separa dewa. Dia ingin membunuh Annabeth dengan menggunakan kuasanya iaitu memaksa Annabeth menatap matanya.


ANALISIS PENAMAAN WATAK MEDUSA

Penamaan bagi Medusa berasal daripada mitodology Greek. Menurut Kamus Kleins Comprehensive Etymological Dictionary of the English Language, “Medusa ialah one of the three gorgans, whoze gaze turned to stone everyone that looked at her.” Ini memberi pengertian bahawa Medusa juga ialah seorang yang menukar orang lain menjadi batu (statue) apabila orang lain melihat pada mata Medusa. Penggunaan nama Medusa turut digunakan pada abad ke-21 dalam filem Percy Jackson and the Lightning Thief. Ini disebabkan filem ini adalah berdasarkan Greek yang telah dimanifestasikan kedalam dunia moden.

Dalam filem ini juga Medusa telah berperanan yang sama seperti makna kepada namanya itu sendiri iaitu orang yang melihat pada mata medusa pasti akan berubah menjadi menjadi batu (statue). Ia merupakan kelebihan ataupun keistimewaan yang diberikan pada perwatakan Medusa kerana tidak kira musuh kuat bagaimanapun sekali telah terpandang pada mata medusa pasti akan menyebabkan seseorang itu menjadi batu. Dengan ini dapat dilihat pemberian nama Medusa adalah berdasarkan wataknya dan juga sifatnya yang menukarkan orang menjadi batu.

Isnin, 8 November 2010

Kesimpulan

Maka, dapatlah disimpulkan di sini melalui penerangan yang diberi terhadap watak dan perwatakan dalam filem ‘Percy Jackson and The Olympians: The Lightning Thief’, menampakkan bahawa sesetengah penamaan watak itu saling digambarkan kepada perwatakan dan pemberian nama ini disifatkan arbitrer. Menurut zaman Greek, penamaan yang diberikan adalah berdasarkan pemikiran dan nilai manusia. Ini dapat dilihat pada pemberian nama ‘Poseidon’ yang berkait rapat dengan kepercayaan atau persepsi sesebuah masyarakat (nilai masyarakat) menurut kepercayaan masyarakat, dewa laut dan gempa bumi merujuk kepada nama ‘Poseidon’. Oleh itu, salah satu faktor penamaan yang terdapat dalam filem tersebut adalah atas faktor keserupaan iaitu penamaan diberi kepada watak berdasarkan kesamaan sifat atau ciri atau lambang dari makna leksikal kata itu sendiri. Manakala, sesetengah watak pula tidak sama dengan perwatakan yang diberi namun pemberian nama tersebut tidak jauh dari sejarah yang terdapat dalam cerita-cerita mitos Greek dahulu.

Rujukan


Abdullah Hassan. (pnyt) (1989). Semantik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan. (2005). Linguistik Am Siri Pengajaran & Pembelajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Asmah Hj Omar. (1986). Bahasa dan alam pemikiran Melayu. Cetakan kedua. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bloomfield, Leonard. (1992). Bahasa. Terj. Alias Mahpel, Kamaruzaman Mahayiddin, dan Noor Ein Mohd. Noor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hill, C.J. (pnyt.). (1965). English language. London: The Grolier Society Ltd.

Jos. Daniel Parera. (2004). Teori Semantik. Indonesia: Penerbit Erlangga. 

Manfred Gorlach. (1997). The linguistic history of english. London: Macmillan press Ltd.

Thomas Pyles/ John Algeo. (1982). The origins and development of the English language. Third edition. New York: 757 Third Avenue.

Nathesan, S. (2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pyles, Thomas dan Algeo, John. (t.th). English: an introduction to language. United states of America: Harcourt Brace Jovanovich.

http://otakmovie.blogspot.com/2010/02/mitos-cara-modensebuah-reviu-percy.html

http://elketw.multiply.com/reviews/item/74

http://annabethers.blogspot.com

http://indahanggita.blogspot.com/2009/11/sekilas-tentang-rasi-bintang-dan.html

http://www.pantheon.org/articles/z/zeus.html

http://kembara-giantpolar.blogspot.com/2010/02/kembara-pertama-percy-jackson.html
http://www.greekmythology.com/Myths/Creatures/Medusa/medusa.html

http://blackdragonstudio.blogspot.com/2010/05/antara-sang-kelembai-dengan-medusa.html.

http://otakujade.wordpress.com/2010/05/10/percy-jackson-and-the-olympians-series-analysis/

http://www.variety.com/review/VE1117942146.html?categoryid=31&cs=1